27 Ogos 2010 bersamaan 17 Ramadhan 1431. Sempena Nuzul al-Quran, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah mengadakan sebuah program bercorak bual bicara bersama jemaah yang dinamakan Halaqah Nuzul al-Quran. Program ini telah dipanelkan oleh dua orang penceramah yang tidak asing lagi di kawasan Pulau Pinang ini iaitu Ustaz Hj Roslan Bin Che Rus dan Ustaz Hj Mutalib Bin Maaruf, dipengerusikan oleh Tuan Imam Utama Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim.
- Barisan Panel Halaqah Nuzul Al-Quran MDSPS 2010
Persoalan berkenaan hikmah penurunan al-Quran telah dijelaskan oleh Ustaz Hj Mutalib, kata beliau; Al-Quran adalah merupakan kalam Allah dan cara Allah berbicara dan menasihati manusia. Ini bermakna sesiapa yang tidak suka membaca dan mendalami Al-Quran seolah-olahnya dia tidak mahu berbicara dengan Allah.
Satu contoh mudah yang dibawa oleh ustaz ialah kita umpama masuk ke rumah seseorang, kita makan di situ, tidur di situ bersuka-suka di situ tetapi kita tak bercakap dengan tuan rumah itu… Apakah yang akan kita nilai orang yang bersifat sebegini?. Tentulah tidak logik dan munasabah kita tinggal di rumah itu tapi kita buat tidak endah dan tidak layan sahaja kepada tuan rumah itu tentulah sampai satu peringkat tuan rumah itu akan suruh kita keluar.
Justeru apatah lagi kita dalam dunia realiti sekarang ini, kita menumpang di bumi Allah, makan dari rezeki yang Allah kurniakan tiba-tiba bercakap dengan Allah pun tidak mahu apatah lagi nak mengambil panduan dari al-Quran jauh sekali tentulah perkara ini akan menghalang kita mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah.
Ustaz Roslan pula banyak menekankan aspek penghayatan terhadap al-Quran melalui pengajian yang berterusan, membaca dan mendalaminya. Penghayatan dan kesedaran ini akan timbul bila kita merasakan keperluan kita kepada Maha Pencipta dan bila kita kenal siapa kita di sisiNya.
Ada persoalan yang diajukan bagaimana hendak mendatangkan sifat khusyuk dan bertadabbur ketika membaca Al-Quran, Ustaz Mutalib menjelaskan perkara ini datangnya dari kefahaman kita kepada setiap ayat yang dibaca dan sifat rendah diri dengan Allah. Oleh itu jemaah disarankan supaya membaca al-Quran bukan hanya sekadar membaca kalimah-kalimahnya sahaja tetapi juga belajar untuk memahami al-Quran sekurang-kurangnya secara menyeluruh.
Program diakhiri dengan tahlil yang dipimpin oleh Imam Rawatib Ustaz Mohd Syukri Bin Abdullah. Program sebegini juga mendapat sambutan yang baik dikalangan jemaah yang cintakan majlis ilmu, tidak kurang dari 150 orang jemaah yang hadir dalam program yang dimulakan selepas solat asar ini. Semoga sokongan yang berterusan dari para jemaah akan memberi insfirasi kepada pihak pengurusan menyediakan program ilmu yang pelbagai bentuk pendekatannya, insyaallah.