Jamuan Aidilfitri MDSPS meriah

23 September 2010, Sempena Aidilfitri 1431, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan majlis jamuan hari raya dengan matlamat untuk memasjidkan masyarakat melalui usaha menyemarakkan sifat gotong-royong dikalangan jemaah disamping mengiratkan lagi hubungan silaturrahim antara jemaah dan juga kakitangan MDSPS.

KPP Bhg. Masjid & Surau bersama kakitangan Pejabat Agama Daerah SPS

Program tahun ini agak meriah dari tahun lalu melalui sumbangan dan penyertaan jemaah bermula dari mesyuarat program secara tradisi yang terbuka kepada semua jemaah yang ingin menyumbang idea dan tenaga seterusnya majlis gotong-royong memasak, membuat persiapan tempat dan sebagainya. Malahan pihak MDSPS amat terharu hinggakan ada dikalangan jemaah yang sanggup mengambil cuti rehat semata-mata untuk memeriahkan lagi program ini.

Pada kali ini MDSPS mengorbankan seekor lembu bagi meraikan para jemaah. Antara juadah dan hidangan yang dihidangkan ialah lemang, rendang, mee kuah ketam, bihun sup, nasi dan gulai daging termasuklah kuih-muih yang disumbangkan oleh para jemaah.

Diharapkan program sebegini akan membangkitkan semangat mahabbah dikalangan jemaah dan kecintaan kepada rumah Allah sebagai destinasi ketenangan dan aktiviti kemasyarakatan.

Lagi gambar sekitar program

Imam Utama bersama Puan Pegawai Daerah SPS selaku Pengerusi MDSPS

Advertisement

Bicara Tafsir Siri 6, Surah al-Baqarah; 21-25

18 September 2010, Bicara Tafsir siri yang keenam telah diadakan pada hari sabtu minggu ketiga dan masih lagi dalam suasana sambutan Aidilfitri. Pada kali ini ayat 21 – 25 surah al-Baqarah menjadi topik perbincangan yang dibarisi oleh al-Fadhil Ustaz Hj Zolkhibri Bin Abdul Aziz bersama panel tetap Bicara Tafsir al-Fadhil Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim dan dipengerusikan oleh Ustaz Azhar Bin Abu Bakar.

Pada pusingan pertama, Ustaz Zolkhibri telah mengupas maksud dan tafsiran ayat 21 dan 22 yang menekan konsep pengabdian kepada Allah yang Maha Esa, Maha Pencipta dan mentadbir sekelian alam ini. Setelah mana kita telah fahami pembahagian manusia yang telah dikategorikan oleh Allah SWT pada ayat yang terdahulu, iaitu golongan Taqwa, Kafir dan Munafik.

Allah SWT menyeru sekelian manusia supaya melihat kepada kejadian diri dan memikirkan segala kejadian yang ada pada persekitaran kita untuk merasai betapa Maha Hebat dan Agungnya Allah SWT dalam penciptaanNya. Justeru berimanlah wahai sekelian manusia kepadaNya.

Ustaz Mohamad Zaki menghuraikan pula makna dan maksud yang tersirat dalam ayat 26 berkenaan cabaran Allah SWT kepada sesiapa yang mampu menandingi Allah SWT dari segi kehebatan Al-Quran. Sememangnya di zaman awal Islam, Rasulullah SAW telah difitnah dengan dakwaan beliau mereka ayat-ayat al-Quran dan menceduknya dari kitab-kitab terdahulu dan ada juga yang menuduh Rasulullah menggunakan sihir.

Lantaran itu sesuai dengan khalayak masyarakat pada ketika itu yang kebanyakkan mereka hebat dalam bidang kesasteraan, Allah telah menurunkan ayat-ayat malahan surah-surah yang hebat dari segi sasteranya bagi menandingi mereka. Sememangnya mereka tidak mampu dan sejarah telah membuktikan ketidakmampuan mereka menandingi ayat-ayat al-Quran.

Adakah kini masih wujud golongan yang mencabar ayat-ayat Allah?. Ustaz Mohamad Zaki menjelaskan, golongan ini sentiasa wujud dan merekalah golongan yang menolak hukum dan ketetapan Allah dari segi syariatnya. Justeru cabaran Allah, datangkan hukum dan panduan dalam bentuk penyelesaian yang mampu manusia tangani sekiranya mereka tidak mahu mengikuti petunjuk Allah. Sememangnya, manusia tidak mampu menyelesaikannya malahan akan bertambah kusut dan hilang arah. Hakikatnya apa yang sedang kita hadapi dalam dunia zaman sekarang ini adalah kesan dari betapa banyak dikalangan umat manusia yang menjadi pencabar Allah dengan mengwujudkan jalan penyelesaian sendiri tanpa merujuk malahan memang tidak mahu merujuk kepada panduan Allah SWT. Kita berada dalam zaman keruntuhan, runtuh segala-galanya, akidah, akhlak, nilai, harga diri dan sebagainya.

Demikianlah secebis topik penbincangan yang telah dikupas dengan begitu berkesan oleh para panel yang begitu bersemangat walaupun kehadiran dibahagian muslimat agak berkurangan. Walaubagaimanapun program ini berjaya memberi pendedahan yang luas kepada jemaah bagi memahami hikmah ayat-ayat Allah SWT.

Program Sepanjang Syawal 1431

Sempena Aidilfitri dan bulan Syawal 1431 yang bakal menjelma, pihak pengurusan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah membuat persiapan dan perancangan untuk menanti detik lebaran dan pengisian program sepanjang Syawal nanti.

Dikesempatan ini, pihak kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada para jemaah yang telah memberi sokongan yang padu dalam usaha kami merancang dan melaksanakan segala program bagi mengimarahkan masjid ini khususnya.

Pihak kami ingin memohon ribuan kemaafan sekiranya sepanjang pihak kami menerajui MDSPS adanya perkara-perkara yang menyentuh rasa, terguris jiwa, tersilap bicara… haraplah dimaafi. Semoga sinar Syawal akan memberi kebaikan yang berpanjangan buat kita semua.

Ikhlas dari kami;

Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim (Imam Utama MDSPS)

Ustaz Muhammad Fadzil Bin Hj Ismail (Tim. Imam Utama)

Ustaz Azahar Bin Abu Bakar (Pembantu Imam)

Encik Mohd Sahrizan Bin Saad (Pembantu Am)

Qiamullail MDSPS meriah dan penuh penghayatan

7 September 2010 bersamaan 28 Ramadhan 1431, Program Qiamullail yang telah dianjurkan bermula dari 16 Ramadhan terus mendapat perhatian dan penyertaan yang menggalakkan dari para jemaah yang dipimpin oleh Imam Utama Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim dan dibantu oleh Imam Rawatib Ustaz Mohd Syukri Bin Abdullah. Program ini bermula dari jam 4.00 pagi diisi dengan solat tahajjud 8 rakaat diselangseli dengan zikir dan “munajat hamba” dipenghujung solat tahajjut serta diakhiri dengan solat witir. Program kebiasaannya akan berakhir pada jam 5:15 pagi.

Program ini akan bertambah meriah apabila hari cuti dan cuti umum, kebiasaannya para jemaah akan mencecah hampir 350 orang pada hari-hari tersebut. Pada hari-hari biasa para jemaah tidak kurang dari 100 orang yang menjadi jemaah tetap setiap pagi.

Bersahur secara berjemaah yang disediakan sepanjang program ini juga memberi kesan yang baik kepada para jemaah khususnya. Para jemaah dapat memberi tumpuan yang baik terhadap ibadah tanpa perlu risaukan juadah untuk bersahur. Tidak hairanlah program ini menggamit ramai dikalangan ibubapa untuk melibatkan anak-anak mereka untuk sama-sama menyertai program ini bagi merasai suasana ibadah dan munajat khususnya dipenghujung solat tahajjut yang amat menyentuh qalbu.

Program ini, insyaallah akan berterusan sehingga pagi 29 Ramadhan dan akan berakhir pada malam raya Aidilfitri dengan diadakan solat tasbih dan witir selepas solat isyak. Para jemaah juga akan diraikan dengan jamuan hari raya yang disumbangkan oleh individu-individu yang dermawan.

Diharapkan program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang dengan peruntukkan yang disediakan JAIPP serta  orang ramai disamping penyertaan yang lebih menggalakkan dari para jemaah.

Menghayati Erti Kemerdekaan

31 Ogos 2010 bersamaan 21 Ramadhan 1431, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan menganjurkan Ceramah sempena menghayati kemerdekaan negara kali yang ke 53 tahun. Bagi menelusuri penghayatan tersebut pihak MDSPS telah menjemput tokoh ilmuan dan pimpinan yang tersohor iaitu YB. Ustaz Dr. Mujahid Bin Yusuf Rawa bagi mengisi slot tersebut.

YB. Ustaz Dr. Mujahid Bin Yusuf Rawa memperjelaskan makna kemerdekaan di sisi Islam iaitu merdekakan diri dari memperhambakan diri kepada selain daripada Allah SWT. Manusia tidak akan benar-benar merdeka kalau masih lagi dibelenggu wang ringgit, nafsu dan sebagainya walaupun negaranya telah merdeka dari penjajahan.

Jiwa yang merdeka ialah jiwa yang mampu melaksanakan tuntutan dan perintah Allah tanpa ada rasa paksaan atau terdesak namun lahir dari hati dan rohani yang tenang mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Beliau juga menyentuh peranan masjid dalam usaha menyebar-luaskan kefahaman agama. Masjid berperanan besar untuk mengubah suasana masyarakat. Beliau tidak bersetuju institusi masjid dipolitikkan kerana agama tidak mempunyai sempadan. Ianya harus diketahui secara menyeluruh dan tidak boleh terkongkong dengan idealogi berbentuk nafsu semata-mata.

Oleh itu orang-orang yang diberi hidayah untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah haruslah memerdekakan minda mereka untuk tidak terpengaruh dengan golongan-golongan yang tidak pernah ada hati untuk mengimarahkan masjid. Golongan tersebut hanya mencari peluang dan kesempatan demi kepentingan atau agenda individu sahaja, sedangkan masjid haruslah diimarahkan yang selayaknya mengikut ketentuan Allah.

Beliau mengingatkan, sebagimana firman Allah SWT;

“Hanyasanya yang layak dan berhak untuk memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; mudah-mudahan mereka menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk” At-Taubah: 18

Program ceramah diakhiri dengan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Imam Utama MDSPS. Para jemaah yang hadir sekitar 200 orang seterusnya berbuka dan solat jemaah maghrib bersama-sama. Moga nasihat-nasihat berguna yang telah diutarakan oleh ahli Sejarah Islam ini, iaitu YB. Ustaz Dr. Mujahid Yusuf Rawa dapat menyedarkan semua berkenaan peranan sebenar kita sebagai khalifah dan hamba Allah di dunia ini. Terima kasih YB. Dr. Mujahid.