7 September 2010 bersamaan 28 Ramadhan 1431, Program Qiamullail yang telah dianjurkan bermula dari 16 Ramadhan terus mendapat perhatian dan penyertaan yang menggalakkan dari para jemaah yang dipimpin oleh Imam Utama Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim dan dibantu oleh Imam Rawatib Ustaz Mohd Syukri Bin Abdullah. Program ini bermula dari jam 4.00 pagi diisi dengan solat tahajjud 8 rakaat diselangseli dengan zikir dan “munajat hamba” dipenghujung solat tahajjut serta diakhiri dengan solat witir. Program kebiasaannya akan berakhir pada jam 5:15 pagi.
Program ini akan bertambah meriah apabila hari cuti dan cuti umum, kebiasaannya para jemaah akan mencecah hampir 350 orang pada hari-hari tersebut. Pada hari-hari biasa para jemaah tidak kurang dari 100 orang yang menjadi jemaah tetap setiap pagi.
Bersahur secara berjemaah yang disediakan sepanjang program ini juga memberi kesan yang baik kepada para jemaah khususnya. Para jemaah dapat memberi tumpuan yang baik terhadap ibadah tanpa perlu risaukan juadah untuk bersahur. Tidak hairanlah program ini menggamit ramai dikalangan ibubapa untuk melibatkan anak-anak mereka untuk sama-sama menyertai program ini bagi merasai suasana ibadah dan munajat khususnya dipenghujung solat tahajjut yang amat menyentuh qalbu.
Program ini, insyaallah akan berterusan sehingga pagi 29 Ramadhan dan akan berakhir pada malam raya Aidilfitri dengan diadakan solat tasbih dan witir selepas solat isyak. Para jemaah juga akan diraikan dengan jamuan hari raya yang disumbangkan oleh individu-individu yang dermawan.
Diharapkan program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang dengan peruntukkan yang disediakan JAIPP serta orang ramai disamping penyertaan yang lebih menggalakkan dari para jemaah.