18 September 2010, Bicara Tafsir siri yang keenam telah diadakan pada hari sabtu minggu ketiga dan masih lagi dalam suasana sambutan Aidilfitri. Pada kali ini ayat 21 – 25 surah al-Baqarah menjadi topik perbincangan yang dibarisi oleh al-Fadhil Ustaz Hj Zolkhibri Bin Abdul Aziz bersama panel tetap Bicara Tafsir al-Fadhil Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim dan dipengerusikan oleh Ustaz Azhar Bin Abu Bakar.
Pada pusingan pertama, Ustaz Zolkhibri telah mengupas maksud dan tafsiran ayat 21 dan 22 yang menekan konsep pengabdian kepada Allah yang Maha Esa, Maha Pencipta dan mentadbir sekelian alam ini. Setelah mana kita telah fahami pembahagian manusia yang telah dikategorikan oleh Allah SWT pada ayat yang terdahulu, iaitu golongan Taqwa, Kafir dan Munafik.
Allah SWT menyeru sekelian manusia supaya melihat kepada kejadian diri dan memikirkan segala kejadian yang ada pada persekitaran kita untuk merasai betapa Maha Hebat dan Agungnya Allah SWT dalam penciptaanNya. Justeru berimanlah wahai sekelian manusia kepadaNya.
Ustaz Mohamad Zaki menghuraikan pula makna dan maksud yang tersirat dalam ayat 26 berkenaan cabaran Allah SWT kepada sesiapa yang mampu menandingi Allah SWT dari segi kehebatan Al-Quran. Sememangnya di zaman awal Islam, Rasulullah SAW telah difitnah dengan dakwaan beliau mereka ayat-ayat al-Quran dan menceduknya dari kitab-kitab terdahulu dan ada juga yang menuduh Rasulullah menggunakan sihir.
Lantaran itu sesuai dengan khalayak masyarakat pada ketika itu yang kebanyakkan mereka hebat dalam bidang kesasteraan, Allah telah menurunkan ayat-ayat malahan surah-surah yang hebat dari segi sasteranya bagi menandingi mereka. Sememangnya mereka tidak mampu dan sejarah telah membuktikan ketidakmampuan mereka menandingi ayat-ayat al-Quran.
Adakah kini masih wujud golongan yang mencabar ayat-ayat Allah?. Ustaz Mohamad Zaki menjelaskan, golongan ini sentiasa wujud dan merekalah golongan yang menolak hukum dan ketetapan Allah dari segi syariatnya. Justeru cabaran Allah, datangkan hukum dan panduan dalam bentuk penyelesaian yang mampu manusia tangani sekiranya mereka tidak mahu mengikuti petunjuk Allah. Sememangnya, manusia tidak mampu menyelesaikannya malahan akan bertambah kusut dan hilang arah. Hakikatnya apa yang sedang kita hadapi dalam dunia zaman sekarang ini adalah kesan dari betapa banyak dikalangan umat manusia yang menjadi pencabar Allah dengan mengwujudkan jalan penyelesaian sendiri tanpa merujuk malahan memang tidak mahu merujuk kepada panduan Allah SWT. Kita berada dalam zaman keruntuhan, runtuh segala-galanya, akidah, akhlak, nilai, harga diri dan sebagainya.
Demikianlah secebis topik penbincangan yang telah dikupas dengan begitu berkesan oleh para panel yang begitu bersemangat walaupun kehadiran dibahagian muslimat agak berkurangan. Walaubagaimanapun program ini berjaya memberi pendedahan yang luas kepada jemaah bagi memahami hikmah ayat-ayat Allah SWT.