Khatan Tradisional MDSPS 2010

20 November 2010, sempena cuti sekolah yang baru bermula, sebagai salah satu program khidmat masyarakat pihak Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan program khatan secara tradisional buat kali kedua dengan menggunakan khidmat tok mudim. Program yang merupakan acara tahunan MDSPS ini telah disertai oleh 19 orang para pelajar yang berumur antara 6 hingga 12 tahun.

Antara objektif program ini ialah untuk mengalakkan para jemaah mendekati masjid untuk mendapat khidmat yang berkaitan ibadat. Khatan adalah merupakan amalan sunnah yang digalakkan oleh Islam.

Bersiram sebelum di 'khatan'kan

Kelebihan Khatan

Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai ‘smegma’. Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.

Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.

Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

Para peserta khatan yang terlah di'khatan'kan

Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi, ‘kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah’. Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.

Pihak pengurusan juga merakamkan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan masjid yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menjayakan program khatan secara tradisional ini.

Advertisement

Sambutan Aidiladha MDSPS 1431

17 November 2010, Hari Raya Aidiladha disambut meriah. Warga sekitar Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menghadiri masjid dengan memenuhi ruang atas dan bawah MDSPS seawal pagi untuk bersama-bersama bertakbir dan bersolat sunat Aidiladha yang dimulakan pada jam 8:30 pagi. Solat dan khutbah kali ini telah dipimpin oleh Tuan Imam Utama al-fadhil Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim.

Tuan Imam sedang menerima wakil untuk menyembelih lembu qurban

Selanjutnya, MDSPS meneruskan sunnah Nabi SAW dengan menganjurkan program Qurban yang disertai oleh ahli jemaah bersama kakitangan MDSPS. Pada kali ini 7 ekor lembu telah dikorban termasuk 2 ekor lembu dan 4 ekor kambing dari Ibu Pejabat Polis Daerah SPS yang turut serta dalam penganjuran kali ini. Ustaz Mohamad Zaki dan Encik Abdul Rahim dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar SPS diwakilkan untuk menyembelih lembu dan kambing yang akan dijadikan qurban.

Amalan qurban ini adalah merupakan amalan yang amat dituntut khususnya pada hari nahar (hari raya Aidiladha) kerana kelebihannya, sebagimana dalam satu riwayat dijelaskan oleh sebuah hadist A’isyah, Rasulullah s.a.w. Bersabda;

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam lebih disukai oleh Allah di hari korban selain dari mengalirkan darah (menyembelih qurban). Sesungguhnya korbannya itu di hari kiamat akan datang menyertai bani adam dengan tanduk-tanduknya, bulunya dan kuku-kukunya. Dan darah qurban tersebut akan menitis di suatu tempat (yang diridlai) Allah sebelum menetes ke bumi, maka sempurnakanlah korban itu ” (HR at-Tirmizi).

Sabda Rasulullah s.a.w.:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Sesiapa yang memiliki kemampuan untuk melakukan ibadah Qurban tetapi dia tidak melakukannya, maka janganlah dia menghadiri masjid kami (untuk solat bersama kami)” – (Direkodkan oleh al-Hakim dalam bab Tafsir Surah al-Haj & sebahagian ulama menyatakan ia hanyalah kata-kata Abu Hurairah r.a.)

Program Qurban MDSPS 1431

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunnah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Imam Syafie berkata “Ibadah qurban adalah sunat tetapi kami tidak suka untuk meninggalkannya walaupun ianya tidak diwajibkan” (Mukhtasar Muzani 1/284)

Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

Dikesempatan ini, pihak MDSPS berkesempatan mengedarkan lebih kurang 600 bungkus daging-daging qurban tersebut kepada fakir-miskin yang telah dikenal-pasti dan kepada para jemaah yang berada di sekitar MDSPS.

“Malam bersama Kekasih”

16 November 2010, sempena sambutan Aidiladha 1431, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Sungai Jawi telah menganjurkan program “Malam bersama Kekasih” pada malam hari raya Aidiladha yang lalu. Program ini bermula selepas solat isyak diisi dengan solat sunat tasbih, solat hajat dan witir dipimpin oleh Tuan Imam Utama Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim. Program ini juga dihiasi dengan zikir munajat, takbir raya serta doa munajat.

Kambing aqiqah yang dijadikan juadah 'kurma kambing' sempena program malam raya Aidiladha

Antara tujuan utama program ini adalah untuk menghidupkan malam yang penuh barakah ini dengan ibadah disamping mendidik para jemaah untuk melakukakan amalan-amalan sunat yang digalakkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Mengenai solat Tasbih, terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a.; “Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada bapa saudaranya al-‘Abbas; ‘Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu sepuluh kelebihan jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terang; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau baca –ketika sedang berdiri itu-; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” sebanyak 15 kali. Kemudian kamu ruku’ dan semasa ruku’ itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari ruku’ dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri I’tidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali juga. Kemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah seumur hidup sekali” (HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang hadis di atas. Ada yang menolaknya (yakni menganggapnya dhaif, tidak soheh) dan ada yang menerimanya. Antara yang menolaknya ialah Imam Ibnul-Jauzi, Hafiz al-‘Uqaili dan Abu Bakar Ibnu al-‘Arabi. Adapun yang menerimanya (yakni menganggapnya sebagai soheh untuk dijadikan hujjah dan amalan)–antara mereka- ialah; Imam as-Suyuti, Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan al-Hafiz al-Munziri. Berkata Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani; hadis mengenai solat tasbih ini adalah hasan kerana banyak jalannya yang menguatkan jalannya yang pertama”. Termasuk juga yang menerima hadis Solat Tasbih itu ialah Syeikh Nasiruddin al-Albani. Dalam tahqiqnya terhadap Sunan Abu Daud, beliau menegaskan; “Hadis tersebut (yakni hadis solat Tasbih yang kita kemukakan di atas) adalah soheh” (Lihat; Soheh Wa Dhaif Sunan Abi Daud, no. 1297).

Dihujung program pihak MDSPS melalui sumbangan para jemaah mengadakan jamuan hari raya seperti lemang, ketupat rendang dan kurma kambing bagi memeriahkan lagi suasana malam raya. Diharapkan program sebegini dapat memasjidkan masyarakat khususnya sebagai medan untuk menyambung silaturrahim.

 

Kursus Smart Solat – MDSPS dan SMK Methodist Nibong Tebal

15 November 2010, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal, telah menganjurkan Kursus Smart Solat peringkat asas untuk para pelajar dari sekolah tersebut terdiri dari para pelajar tingkatan 1 hingga 4. Program sehari ini telah disampaikan oleh Tuan Imam Utama Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim al-Hafiz. Kertas kerja berkaitan solat secara asas telah dibentangkan dibantu dengan LCD untuk lebih memahamkan lagi para peserta kepada topik perbincangan.

Program ini bertujuan untuk mendidik para peserta supaya dapat mencapai ketinggian solat yang paling utama serta sekurang-kurang tergolong dalam golongan yang berusaha untuk menjadikan solatnya sebagai hadiah yang terbaik untuk Penciptanya. Menghayati hadis Nabi SAW “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat (mempunyai ilmu) tentang perihal aku solat”. (Riwayat Bukhari). Satu usaha membawa orang ramai ke arah menghayati solat mereka dengan memuhasabah kefahaman bacaan dan setiap pergerakan solat mereka, agar benar-benar terhasil solat yang khusyuk dari sudut fizikal dan spiritual.

Program ini insyaallah akan disambung pada siri-siri yang lain berkaitan solat berjemaah, khusyuk dalam solat, solat-solat sunat dan kelebihannya serta solat musafir dan orang yang uzur. Moga program yang menjadi acara tahunan ini akan dapat mencapai matlamatnya dalam mendekatkan masyarakat kepada Maha Pencipta, insyaallah.

 

“Ibadah Qurban Keutamaan Mencari Keredhaan Tuhan”

13 November 2010, Sempena Aidiladha yang bakal tiba, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan program Ceramah Khas Aidiladha yang membawa tema “Ibadah Qurban Keutamaan Mencari Keredhaan Tuhan”. Us. Ahmad Izzat Bin Mohamad Shauki dijemput untuk memperkatakan tajuk ini. Program yang dijadual berlangsung selepas solat maghrib terpaksa ditunda sehingga jam 9 malam disebabkan penceramah jemputan mempunyai komitmen yang lebih utama. Walaubagaimanapun penyertaan para jemaah adalah amat menggalakkan.

Us. Ahmad Izzat dalam ceramahnya menekankan konsep Qurban yang menjadi keutamaan dalam amalan kita melalui beberapa hadis yang diriwayatkan antaranya;

Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.”Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim

Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: “Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya: “maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.”Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah

Qurban dalam bahasa arab berakar kata dari qaruba. Akar kata ini membentuk kata: qurb (dekat), taqarrub (mendekatkan diri) aqriba’ (kerabat) dsb. Menurut para pakar bahasa Arab, Qurban bermakna suatu kaedah untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah. Al-Mawardi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Qurban adalah amal kebajikan yang ditujukan menggapai Rahmat Allah.

Teruskan membaca