Ceramah Khas Hijrah & Tahun Baru 2012

Masjid Daerah Seberang Perai Selatan akan mengajurkan Ceramah Khas Sempena Tahun Hijrah 1433 dan Tahun Masehi 2012. Program ini akan diadakan sebagaimana butiran berikut:

Tarikh: 21 Disember 2011 (Rabu)

Masa: Selepas Solat Isya’

Tempat: Dewan Utama Masjid Daerah SPS

Muslimin dan Muslilmat dijemput hadir.

Advertisement

Majlis Kesyukuran sempena Tahun Baru Hijrah 1433

Masjid Daerah Seberang Perai Selatan akan menganjurkan Majlis Kesyukuran sempena sambutan Maal Hijrah 1433 yang akan berlangsung pada 26 November 2011. Program akan bermula seawal jam 6:00 petang. Antara aktiviti yang akan diadakan:

1. Bacaan Yasin dan disusuli dengan doa akhir dan awal tahun

2. Tazkirah Maal Hijrah yang akan disampaikan oleh Yg. Bhg. Tuan Guru Dato’ Hj Md Saleh Bin Hj Ahmad, Ahli Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Perak.

3. Jamuan ringan.

Muslimin dan muslimat dijemput hadir untuk sama-sama memohon keampunan dan mengharapkan rahmat daripada Allah SWT melalui amalan secara berjemaah yang akan diadakan.

Salam Maal Hijrah untuk semua.

“Hijratul Rasul Pencetus Perubahan”

 

Majlis Jamuan Aidilfitri dan Program Talaqi Para Imam SPS

15 September 2011. Majlis Jamuan Aidilfitri Masjid Daerah Seberang Perai telah berlangsung dengan jayanya. Majlis pada kali ini diserikan lagi dengan kehadiran Sheikh Solah Khalifah yang merupakan Imam Besar Masjid Saidina Jaafar Abi Talib, Mazar, Muktah, Jordan. Majlis bermula pada jam 9:30 pagi yang dikhususkan kepada para imam seluruh masjid daerah Seberang Perai Selatan. Pada majlis para imam didedahkan dengan syarahan berkenaan al-Quran serta kelebihannya khususnya berkaitan tajwid dan tanggungjawab sebagai imam. Di penghujung majlis para imam berkesempatan bertalaqi dan mengambil sanad surah al-fatihah serta surah al-Khauthar daripada Sheikh Solah.

Majlis jamuan pula bermula pada tepat jam 11:00 pagi. Pada kali ini MDSPS mendapat seekor lembu aqiqah dari para jemaah untuk majlis tersebut. Kehadiran tetamu dianggarkan 2000 orang secara keseluruhannya.

Pihak Pengurusan MDSPS merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan, sukarelawan MDSPS yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan semenjak awal program hinggalah berlangsung dengan jayanya. Semoga program ini mencapai matlamat untuk mengeratkan silaturrahim disamping mendekatkan jemaah kepada masjid.

Kunjungan Sheikh Solah Khalifah Imam Besar Masjid Muktah Jordan

12 September 2011, Para jemaah Masjid Daerah Seberang Perai Selatan merasa bertuah kerana telah dikunjungi oleh seorang tokoh ulama’ tersohor dari bumi Anbi’a Jordan. Beliau ialah Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah yang merupakan Imam Besar Masjid Syaidina Jaafar Abi Talib, Mazar, Muktah Jordan. Beliau juga merupakan Pensyarah di Universiti Islam Muktah, juga terlibat sebagai Ahli Lajnah Pentashih Al-Quran Sedunia. Beliau merupakan anak murid kepada Sheikh Mutawali Syakrawi, Imam Hasan al-Banna dan Sheikh Muhammad Ghazali.

Kuliah yang disampaikan oleh beliau memakan masa selama hampir dua jam telah diterjemahkan oleh Ustaz Hj Hashim Bin Wasoh. Sheikh Solah banyak memberi penekanan tentang persoalan hidayah. Menurut beliau hidayah adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT yang perlu kita usahakan untuk mendapatkannya. Cara untuk mendapatkan hidayah ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, berkawan dengan orang alim dan mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah.

Beliau juga menekan persoalan taubat. Walaubagaimanapun keadaan kita yang telah bergelomang dengan dosa disebabkan kejahilan diri, Allah SWT tidak pernah menutup pintu taubat kepada para hamba-Nya. Malah begitu pemurahnya Allah SWT bagi setiap kesalahan yang dilakukan disebabkan kejahilan, kalau sekiranya ia bertaubat dengan sebenar-benar taubat, Allah SWT akan mengantikan segala kesalahan itu dengan kebajikan.

Syeikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah

Para jemaah begitu teruja dengan kehadiran Sheikh Solah dan tidak melepaskan peluang untuk bersoal jawab khususnya berkaitan tajwid. Sebelum itu Sheikh Solah telah sudi untuk mengimami solat isyak dan meneruskan dengan kuliah Isyak selepas itu. Diharapkan kehadiran Sheikh Solah akan menyemarakkan semangat para jemaah untuk mencintai ilmu dan para ulama’.

Sila layari facebook Masjid Daerah SPS untuk gambar-gambar sekitar program: http://www.facebook.com/media/set/?set=a.246984162011970.57980.115306478513073&type=1

Cerapan Gehana Bulan Penuh

Para jemaah sedang melihat fenomena gerhana bulan

16 Jun 2011, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan program ‘Cerapan Gerhana Bulan Penuh’ pada 15 dan 16 Jun 2011. Program ini diadakan adalagh bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para jemaah tentang hikmah serta kesan gerhana kepada alam. Ia juga merupakan salah satu tanda kebesaran Allah SWT.

Program ini bermula pada jam 7:00 petang dengan pameran falak yang telah disediakan oleh unit falak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Pada sebelah malamnya pula satu forum khas sempena program ini diadakan dengan tajuk perbincangan; “Peristiwa Gerhana & Kelebihan Bulan Rejab”. Forum ini telah dipanelkan oleh tokoh-tokoh dari Jabatan Mufti Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu Ustaz Mohd Isa Abdul Rahman dan Ustaz Mohd Faizal Jani, dimoderatorkan oleh Ustaz Norzli Mat dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Program diteruskan dengan cerapan gerhana bulan penuh yang berlaku bermula dari jam 3:00 pagi. Namun agak mendukacitakan disebabkan cuaca yang kurang mengizinkan fenomena gerhana tersebut tidak dapat dilihat dengan jelas. Namun pihak Jabatan Mufti ada menyediakan rakaman video fenomena tersebut yang berlaku di tempat lain sebagai gambaran kepada para hadirin.

Para jemaah sedang mendengar khutbah Gerhana Bulan

Bagi mengisi program, pada pagi tersebut diadakan majlis qiamullail yang diketuai oleh Ustaz Haji Zolkhibri Abdul Aziz, imam rawatib MDSPS bermula pada jam 3:00 pagi. Seterusnya solat sunat gerhana serta khutbah telah disampaikan oleh Ustaz Haniff Azmir Bin Hassim dari Masjid Negeri Pulau Pinang disertai oleh jemaah yang sekitar 250 orang.

Pihak Pengurusan MDSPS mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang telah sudi memilih MDSPS sebagai lokasi pencerapan gerhana pada kali ini. Harapan pihak pengurusan agar program ini akan membudayakan ilmu kepada masyarakat.

Karnival “Jom Pi Masjid” Mencapai Sasaran

Majlis Perasmian Karnival "Jom Pi Masjid" 2011

22 Mei 2011 Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Sungai Jawi telah menganjurkan Karnival “Jom Pi Masjid selama tiga hari bermula 20 Mei 2011 dan berakhir pada 22 Mei 2011 dengan jayanya. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Di pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Tuan Hj Ellias Bin Zakaria. Diasaskan berdasarkan peranan Masjid yang adalah merupakan institusi terpenting di dalam Islam. Ini dibuktikan melalui sirah Rasulullah S.A.W iaitu Baginda sendiri telah mengambil tindakan yang pertama selepas penghijrahan ke Madinah dengan membina Masjid al-Nabawi sebagai pusat pengurusan hal ehwal umat Islam dan penyatuan ummah.

Oleh kerana ianya merupakan sebuah Institusi yang begitu berkesan dalam peranannya untuk menyatukan ummah, maka peranan tersebut perlulah ditonjolkan melalui pendekatan mesra jemaah dalam usaha menarik minat pelbagai golongan bagi menghidupkan rasa sayang dan cintakan masjid.

Justeru Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Agama Daerah Seberang Perai Selatan mengambil inisiatif menganjurkan Program Karnival Masjid Peringkat Daerah kali pertama bagi Tahun 2011 ini. Di antara objektif pelaksanaan program ini adalah seperti berikut :-

  • Untuk menggalakkan anak-anak Qaryah bekerjasama mengimarahkan masjid di Qaryah masing-masing disamping dapat mencungkil idea terbaru serta bertukar maklumat di antara masjid-masjid seluruh Seberang Perai Selatan

  • Untuk menghidupkan kembali fungsi besar masjid sebagai lambang penyatuan dan perpaduan ummah serta gedung ilmu kepada masyarakat.

  • Untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat merangkumi semua lapisan.

  • Sebagai Pusat Sehenti kepada masyarakat sekeliling.

Barisan pemenang Pertandingan Mewarna sempena Karnival

Antara aktiviti yang disediakan dalam karnival kali ini ialah Pameran dari agensi kerajaan dan swasta seperti Kementerian Dalam Negeri Bahagian Penerbitan (al-Quran), Kementerian Kesihatan, Bahagian Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Pusat Urus Zakat, Badan Kebajikan Masyarakat Daerah SPS, Bank Kerjasama Rakyat, Bank Islam Malaysia Berhad.

Terdapat gerai-gerai jualan. Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak yang ditaja oleh Galeri Ilmu, Penerbit Majalah Asuh dan Anis yang diketuai oleh Cikgu Abu Hasan Morad. Disamping itu juga diadakan Pertandingan tilawah peringkat pelajar sekolah rendah.

Untuk program pengisian minda dan rohani diadakan slot Bicara ilmiah bersama tokoh-tokoh ilmuan dan banyak lagi program ilmiah dalam bentuk santai bagi mendekatkan masyarakat dengan budaya ilmu.

Tuan Pengarah JHEINPP sedang mencuba riadah berkuda

Disamping itu juga pihak pengurusan masjid menyediakan program riadah berbentuk sunnah iaitu Paintball dan menunggang kuda. Acara ini segaja kita wujudkan agar masyarakat Islam dapat menjadikan permainan riadah ini sebagai altenatif baru dalam sukan yang memiliki ciri-ciri tarbiah jasmani dan rohani.

Seterusnya pihak pengurusan masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk dan Ex-Hoc Perlaksana yang di ketuai oleh Imam Utama MDSPS bersama teamnya dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Pertandingan Paintball sempena Karnival

Sukan Paintball menawarkan kaedah yang terbaru dalam program latihan yang berbentuk experiantal learning dan teamwork training di Malaysia. Sukan Paintball juga menawarkan satu kaedah yang menggunakan alatan permainan yang lebih canggih dan efisyen. Modul-modul latihan yang disediakan merangkumi semua aspek kemahiran yang diperlukan oleh setiap individu untuk mencapai kecemerlangan di dalam kehidupan, kerjaya dan keperibadian. Aspek kemahiran yang dapat diterapkan dalam sukan Paintball adalah seperti berikut:

1. Taktikal  2. Strategi  3. Pengurusan  4. Wawasan   5. Penumpuan  6. Pengelolaan

Sukan Paintball mempunyai elemen pembentukan watak yang paling sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi terkini. Terdapat tiga (3) nilai yang ada dalam sukan Paintball yang boleh di gunakan di sesebuah organisasi seperti berikut:

  • A – Aim ( Matlamat / Sasaran )
  • C – Communication ( Komunikasi )
  • T – Teamwork ( Kerjaberpasukan

Terbuka umum…

Syarat penyertaan:

  1. 5 orang peserta untuk satu kumpulan
  2. Terbuka kepada lelaki dan wanita yang berumur 15 tahun ke atas (game adalah diasingkan antara lelaki dan perempuan)
  3. Yuran penyertaan RM 250.00 (minima 3 game, jika menang lebih banyak game boleh main)
  4. Pakaian menutup aurat
  5. Tarikh tutup penyertaan pada 18 Mei 2011
  6. Setiap borang yang dihantar hendaklah disertakan dengan yuran penyertaan.
  7. Untuk mendapatkan borang pertandingan sila hubungi:

Urusetia Karnival ‘Jom Pi Masjid’

Pejabat Pentadbiran Masjid Daerah SPS

14200 Sungai Jawi, SPS

Tel: 04-5831 340

Atau layari blog: https://mdspsjaipp.wordpress.com.

Majlis perasmian dan Demo Game akan diadakan pada hari jumaat 20 Mei 2011, 2:30 petang.

Muat turun borang penyertaan di sini


Tawaran Tapak Perniagaan Sempena Karnival MDSPS

Adalah dipelawa kepada para peniaga muslimin dan muslimat untuk menyertai Karnival “Jom Pi Masjid” Masjid Daerah Seberang Perai Selatan yang akan di adakan di perkarangan Masjid Daerah SPS bermula 20 – 22 Mei 2011.

Antara jenis perniagaan yang dialu-alukan ialah:

ü Makanan / Minuman

ü Makanan Kering

ü Pakaian / Busana Muslim

ü Buku / Barangan Ibadah

ü Kosmatik / Produk Kesihatan

ü Barang Plastik / Perhiasan

Antara kemudahan yang disediakan kepada para peniaga; Tapak perniagaan (10’ x 10’) berbumbung dilengkapi kipas angin dan lampu. Sewaan satu lot berharga RM 180.00. Untuk tambahan satu soket elektrik RM 10.00

Bagi yang berminat sila dapatkan borang penyertaan dari pihak urusetia Karnival (Bhg. Gerai: En. Asri 0195678594) atau 04-5831 340 atau datang terus ke Pejabat Pengurusan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan.

Muat turun Borang Penyertaan

Temuduga Peniaga Gerai, Bazar Masjid Daerah SPS

Sedang ditemuduga oleh Penghulu Elias, Penghulu Ishak dan PTA Ustaz Shafie

28 April 2011, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menjalankan sesi temuduga pemilihan untuk peniaga-peniaga yang bakal menyewa Bazar Rakyat milik Masjid Daerah SPS yang telah diserahkan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang sebagai pemegang amanah kepada Jawatankuasa Pengurusan MDSPS. Bazar ini telah disumbangkan oleh Yayasan Wakaf Malaysia dan telah diselia pembinaannya oleh pihak Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Selatan. Bazar yang berharga RM 190,000.00 ini telah siap sepenuhnya pada bulan Mac 2011 yang lalu dan menempatkan lima unit gerai.

Tujuan asas sumbangan dan pembinaan bazar ini adalah untuk menjana ekonomi masjid khususnya bagi menampung kos pengurusan dan aktiviti-aktiviti pengimarahan bagi memperhebatkan lagi fungsi masjid sebagai penggerak dan pusat kecemerlangan insan dunia dan akhirat.

Sesi temuduga yang dijalankan seawal 9:00 pagi itu melibatkan 23 orang pemohon dan yang hadir untuk sesi temuduga seramai 18 orang. Antara kriteria yang dinilai untuk dipertimbangkan ialah kesungguhan untuk berniaga, kemampuan untuk membayar sewa dan yang paling penting dan utama ialah kemampuan membawa imej Islam dalam diri peniaga dan juga perniagaan yang bakal dijalankan. Para peniaga adalah merupakan cerminan kepada Islam dan secara tidak langsung sebagai pendakwah kepada masyarakat. Penekanan yang diberikan kepada aspek ini adalah kerana hasrat utama pihak jawatankuasa MDSPS ialah untuk menjadikan MDSPS sebagai contoh ikutan kepada masjid-masjid yang lain bagi memperhebatkan fungsi masjid sebagai medan dakwah sekaligus penjana ekonomi ummah.

Semoga dengan adanya aktiviti ekonomi di masjid ini diharapkan ianya akan lebih mendekatkan lagi para jemaah kepada masjid. Disamping suntikan dana yang diperolehi dalam bentuk sewaan bulanan kepada tabung masjid akan dapat membantu program-program pengimarahan dan pengurusan masjid supaya ianya akan lebih baik di masa-masa akan datang. “Mengimarahkan ‘Rumah Allah’ adalah tanggungjawab kita bersama, bantulah Agama Allah insyaallah Allah akan membantu kita.”