Maulidur Rasul 1432 disambut meriah

15 Februari 2011, Adalah telah menjadi dasar dalam memenuhi Piagam Pelanggan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan untuk mengutamakan sambutan hari kebesaran Islam dan negara dengan mengadakan program bagi memperingati peristiwa-peristiwa tersebut. Ini juga selaras dengan matlamat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang untuk membudayakan Islam dalam masyarakat. Oleh itu, sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432 tahun ini, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah mengadakan program Diskusi Kitab “Syamaail Muhammadiah” pada sesi pagi dan program “Bicara Sirah” pada sesi petang.

Program “berbentuk ilmiah” yang julung kali diadakan bagi penduduk setempat ini bertujuan untuk menyatakan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan lebih bermakna. Program ini telah menarik penyertaan diluar jangkaan. Ruang solat utama dan ruang tingkat bawah masjid dipenuhi hampir 500 orang bagi setiap sesi. Menurut salah seorang jemaah yang merupakan penduduk asal kampung Sungai Jawi, beliau melahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana inilah pertama kali dalam sejarah MDSPS menyambut Maulidur Rasul mendapat sambutan yang luar biasa dari pelbagai lapisan masyarakat dengan kehadiran yang amat memberangsangkan.

Dalam program ini pada sesi pagi, telah diadakan diskusi kitab “Syamaail Muhammadiah” yang telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim yang juga merupakan Imam Utama MDSPS. Perbahasan yang menarik disertai dengan bantuan multimedia memberikan penghayatan yang mendalam kepada para jemaah. Menyebabkan para jemaah tidak berganjak dari majlis yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir sehingga jam 1 petang itu.

Pada sesi petang pula, program diteruskan dengan “Bicara Sirah” melalui topik perbincangan “Kenali Nabi, Cintai Nabi”. Program ini dikendalikan oleh Ustaz Azhar Bin Abu Bakar dan panelnya Ustaz Hj Muhammad Imran Bin Ibrahim, Penolong Pengarah Bahagian Takmir, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Yang menariknya program ini diselang-seli dengan slot multimedia yang dikendalikan oleh Ustaz Hj Mohamad Zaki bagi membangkitkan mood kecintaan yang mendalam kepada para jemaah khususnya bagaimana sedihnya para sahabat menyambut berita kewafatan Rasulullah SAW dan kerinduaan mereka yang mendalam selepas kewafatan baginda.

Secara keseluruhannya, para jemaah amat teruja dengan kelainan yang dibawa oleh pihak pengurusan MDSPS dalam membudayakan ilmu dikalangan ahli jemaah.

Dalam program ini juga pihak pengurusan amat berterima kasih kepada para dermawan dikalangan jemaah sehingga berjaya mengumpul kutipan yang hampir mencecah RM 3000.00. Oleh itu bagi menunaikan hajat penderma, pihak pengurusan telah mengorbankan seekor lembu dan mengadakan jamuan sepanjang program. Alhamdulillah, semoga program yang telah dilaksanakan ini mampu sekurang-kurangnya memberi sedikit ingatan dan menanamkan benih kecintaan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Selawat dan salam buat baginda.

Advertisement

Kursus Asas Ibadah Haji 1432 bermula dengan rasminya

Tuan Haji Shuhaimi sedang menyampaikan ucapan perasmian

12 Februari 2011, Kursus Asas Ibadah Haji sebanyak 19 siri telah bermula dengan rasminya. Kursus Asas Ibadah Haji bagi tahun 1432 ini adalah dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Malaysia dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Shuhaimi Bin Ahmad, Pengurus Cawangan, Tabung Haji Cawangan Bukit Mertajam.

Dalam ucapan perasmiannya Tuan Haji Shuhaimi mengimbau kembali sedikit sebanyak latar belakang perjalanan kursus haji sejak ia diperkenalkan pada tahun 80-an yang lalu. Bermula dari tahun ini, kursus haji yang sebelum ini dikenali dengan Kursus Haji Bersiri telah ditukar namanya dengan Kursus Asas Ibadah Haji. Namun konsepnya tetap sama, cuma pendekatan dan pengisiannya lebih menjurus kepada perkara asas yang perlu diketahui oleh seseorang jemaah haji. Menurut beliau, LTH amat prihatin khususnya dalam masalah perlaksanaan haji dikalangan jemaah. Ini kerana masih terdapat para jemaah yang tidak boleh mengusai “ilmu haji” menyebabkan kekeliruan banyak berlaku dikalangan jemaah khususnya semasa di Tanah Haram, Makkatul Mukarramah.

Beliau mengharapkan para jemaah yang mengikuti kursus asas haji ini agar istiqamah dan konsisten dari segi kehadiran dan banyak bertanya kepada para guru pembimbing agar jemaah haji betul-betul bersedia untuk melaksanakannya apabila sampai waktunya kelak. Beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan khususnya Ahli jawatankuasa perlaksana Ibadah Haji MDSPS atas usaha membantu Tabung Haji menyediakan para bakal jemaah haji melalui pendedahan ilmu pengetahuan dalam program kursus seperti ini.

Begitu juga hasrat MDSPS agar para jemaah di sekitar masjid khususnya daerah Seberang Perai Selatan agar dapat bersama-sama mengambil manfaat dari siri kursus ini. Sebenarnya pengajian ibadah haji tidak dikhususkan hanya kepada bakal para jemaah haji sahaja tetapi ianya juga menjadi suatu kepentingan kepada semua khususnya kepada para graduan haji. Mengerjakan ibadah haji adalah mudah tetapi mendapatkan dan mengekalkan haji yang Mabrur adalah susah. Oleh itu berusahalah mendapatkan serta mengekalkannya, semoga jaminan syurga yang disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW menjadi habuan kita, insyaallah.

Bagi para jemaah yang berminat mengikuti kursus ini, adalah dialu-alukan. Penyertaan terbuka dan tiada tarikh tutup. Program ini dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula jam 9:00 pagi sehingga jam 11:15 pagi. Untuk keterangan lanjut sila hubungi pihak pengurusan MDSPS.

Sambutan Maulidur Rasul 1432 – MDSPS

Sambutan Maulidur Rasul 1432

Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Sungai Jawi akan menganjurkan program Halaqah Ilmiah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432 ini. Antara acara yang akan diadakan ialah Diskusi Kitab Syamail Muhammadiah / Insan Teladan Sepanjang Zaman yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Haji Mohamad Zaki bin Haji Abdul Halim al-Hafiz HafizahulLah dan Bicara Sirah yang akan memperkatakan tentang Sirah Junjungan Nabi Muhammad SAW yang dibicarakan oleh al-Fadhil Ustaz Haji Muhammad Imran bin Haji Ibrahim HafizahulLah dan dimoderatorkan oleh Ustaz Azahar bin Abu Bakar. Aturcara program adalah seperti berikut;

Tarikh : 15 Februari 2011 / 12 Rabiulawal 1432 (Hari Selasa)

Diskusi kitab : 8:30 – 12:30 tengahari

Bicara Sirah : 2:30 – 4:30 petang

Jamuan tengahari serta minuman semasa berhenti rehat akan disediakan.

Para peserta yang ingin mendapatkan kitab diskusi sila hubungi urusetia program di Pejabat Pentadbiran MDSPS pada talian 04-5831 340. Harga buku hanya RM 20.00 sahaja.

Muslimin dan muslimat dijemput hadir bagi lebih memanfaatkan lagi hidup anda dengan mengenali Nabi yang kita cintai.