
12 Februari 2011, Kursus Asas Ibadah Haji sebanyak 19 siri telah bermula dengan rasminya. Kursus Asas Ibadah Haji bagi tahun 1432 ini adalah dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Malaysia dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Shuhaimi Bin Ahmad, Pengurus Cawangan, Tabung Haji Cawangan Bukit Mertajam.
Dalam ucapan perasmiannya Tuan Haji Shuhaimi mengimbau kembali sedikit sebanyak latar belakang perjalanan kursus haji sejak ia diperkenalkan pada tahun 80-an yang lalu. Bermula dari tahun ini, kursus haji yang sebelum ini dikenali dengan Kursus Haji Bersiri telah ditukar namanya dengan Kursus Asas Ibadah Haji. Namun konsepnya tetap sama, cuma pendekatan dan pengisiannya lebih menjurus kepada perkara asas yang perlu diketahui oleh seseorang jemaah haji. Menurut beliau, LTH amat prihatin khususnya dalam masalah perlaksanaan haji dikalangan jemaah. Ini kerana masih terdapat para jemaah yang tidak boleh mengusai “ilmu haji” menyebabkan kekeliruan banyak berlaku dikalangan jemaah khususnya semasa di Tanah Haram, Makkatul Mukarramah.
Beliau mengharapkan para jemaah yang mengikuti kursus asas haji ini agar istiqamah dan konsisten dari segi kehadiran dan banyak bertanya kepada para guru pembimbing agar jemaah haji betul-betul bersedia untuk melaksanakannya apabila sampai waktunya kelak. Beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan khususnya Ahli jawatankuasa perlaksana Ibadah Haji MDSPS atas usaha membantu Tabung Haji menyediakan para bakal jemaah haji melalui pendedahan ilmu pengetahuan dalam program kursus seperti ini.
Begitu juga hasrat MDSPS agar para jemaah di sekitar masjid khususnya daerah Seberang Perai Selatan agar dapat bersama-sama mengambil manfaat dari siri kursus ini. Sebenarnya pengajian ibadah haji tidak dikhususkan hanya kepada bakal para jemaah haji sahaja tetapi ianya juga menjadi suatu kepentingan kepada semua khususnya kepada para graduan haji. Mengerjakan ibadah haji adalah mudah tetapi mendapatkan dan mengekalkan haji yang Mabrur adalah susah. Oleh itu berusahalah mendapatkan serta mengekalkannya, semoga jaminan syurga yang disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW menjadi habuan kita, insyaallah.
Bagi para jemaah yang berminat mengikuti kursus ini, adalah dialu-alukan. Penyertaan terbuka dan tiada tarikh tutup. Program ini dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula jam 9:00 pagi sehingga jam 11:15 pagi. Untuk keterangan lanjut sila hubungi pihak pengurusan MDSPS.