25 Mac 2011, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Agama Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan Kursus Pemantapan Kerjaya dan Tahsin Al-Quran kepada Pegawai-pegawai masjid bagi daerah seberang perai selatan. Program yang berlangsung pada 24 Mac 2011 bermula 8:30 pagi hingga 1:00 petang ini adalah merupakan kesinambungan program yang telah dilaksanakan pada tahun lepas. Antara objektifnya ialah;
a. Pendedahan ilmu berkaitan dengan persiapan diri sebagai seorang imam yang berketrampilan.
b. Memantapkan kefahaman secara terperinci mengenai tanggungjawab dan keperibadian sebagai seorang imam.
c. Mendedahkan mereka mengenai asas-asas untuk menjadi imam seperti bacaan fatihah dan amali solat.
Program ini telah dirasmikan oleh Ustaz Shafie Bin Hj Abd. Wahab, Pegawai Tadbir Agama Daerah SPS. Dalam ucapan tersebut, beliau banyak memperingatkan tentang tugas sebenar sebagai seorang imam yang bukan hanya untuk mengimamkan solat tetapi secara umumnya imam adalah tempat rujukan anak qariah dalam hal-hal berkaitan agama. Oleh itu para imam hendaklah menyiapkan kemahiran diri bagi menanggung tugas yang berat ini.
Sesi pembentangan kertas kerja imam
Dalam program ini juga para peserta khususnya imam telah diuji kefahaman ilmu melalui ujian pengukuhan yang diadakan pada awal program ini. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan dan menguji kefahaman minda serta kecekapan bagi memahami persoalan-persoalan khususnya masalah dalam pekara ibadah. Disamping itu juga antara pengisian bagi slot ceramah ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar yang bertajuk Adab dan Etika Imam.
Program bersiri ini akan bersambung pada bulan hadapan dengan pengisian yang lebih menarik khususnya kepada peningkatan kualiti imam dan pengurusan masjid.
Para peserta kursus sedang khusyuk mendengar penjelasan dari penceramah
12 Mac 2011, Kursus Asas Haji bagi tahun 2011 bersamaan 1432 semakin meriah dengan penyertaan daripada para peserta yang semakin memberangsangkan. Bagi meningkatkan kefahaman dan keselesaan kepada para peserta, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan melalui Jawatankuasa Khas Kursus Haji telah mengubah suai dewan solat untuk dijadikan bilik seminar yang boleh memuatkan 200 – 250 orang. Bilik seminar mudah alih ini dilengkapi dengan kelengkapan kerusi meja serta alat bantuan mengajar (LCD) yang lebih mesra jemaah khususnya kepada golongan warga emas yang turut menyertai kursus asas haji ini.
Pihak pengurusan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para jemaah yang telah menghulurkan sumbangan yang membolehkan wujudnya “bilik seminar mudah alih” ini. Kebanyakkan perbelanjaan peralatan dan kelengkapan adalah daripada sumber kutipan yuran para peserta.
Dengan wujudnya “bilik seminar mudah alih” ini, diharapkan akan dapat memberi lebih manfaat khususnya kepada program-program bersifat formal yang bakal diadakan dari masa ke semasa sebelum kelulusan peruntukkan bagi mengwujudkan dewan serbaguna di MDSPS pada masa akan datang.
4 Mac 2011, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan melangkah setapak lagi dalam usaha transformasi dakwah dalam bentuk yang lebih mendekati jemaah. Buat julungkalinya pihak pengurusan MDSPS telah berjaya melaksanakan “Khutbah Multimedia” setelah hasrat tersebut tergendala beberapa ketika.
Ustaz Syukri selaku khatib sedang menyampaikan khutbah dibantu dengan tayangan multimedia
Adalah disunatkan kepada jemaah untuk diam dan mendengar khutbah dan makruh bagi mereka berkata-kata, sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:
“Dari Abu Hurairah Radiallahu Anha, sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari jumaat: “Dengarkanlah (khutbah)”, pada hal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia”. (Riwayat Al-Imam Bukhari)
Adapun maksud sia-sia itu ialah bertentangan dengan sunah dan adab serta mengakibatkan tidak sempurna sembahyang jumaatnya walaupun sembahyangnya masih dikira sah. Akan tetapi tidak menjadi kesalahan keatas orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata jika terdapat darurat, seperti ingin menyelamat orang buta hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Dalam hal seperti ini tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata, bahkah wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk mengunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelak daripada berkata-kata.
Berdasarkan penjelasan tadi, para jemaah adalah dikehendaki memberi tumpuan sepenuh hati serta seluruh anggota tubuh badan terhadap khutbah yang disampaikan. Sedangkan perbuatan ibadat seperti membaca al-quran, berzikir dan seumpamanya pun dimakruhkan bagi orang yang dapat mendengar khutbah, apatah lagi berbual-bual atau bermain-main telefon bimbit. Bahkan sekecil-kecil perbuatan yang boleh menganggu tumpuan terhadap khutbah itu pun sudah dikira melakukan suatu perbuatan yang sia-sia yang akan mengakibatkan kerugian pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang jumaat. Rasulullah Sallahu Allahi Wasalam menjelaskan dalam sebuah hadis maksudnya:
Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anha katanya: Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Siapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhu, kemudian dia pergi ke masjid menunaikan sembahyang jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap ketika khutbah disampaikan, maka diampunkan dosa-dosanya yang diantara jumaat itu dan hari jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah, maka dia telah berbuat sia-sia. (Riwayat Al-Imam Muslim)
Para jemaah sedang mengikuti khutbah dengan penuh minat
Justeru melihat kepada kepentingan peranan khutbah dan penegasan yang dibuat oleh Rasulullah SAW ini, MDSPS telah berusaha untuk mendekatkan para jemaah kepada penyampaian khutbah yang lebih keberkesanan dengan melaksanakan khutbah secara multimedia. Reaksi para jemaah amat memberangsangkan walaupun sesetengah masjid di negeri-negeri lain telah pun memulakan usaha ini lebih 3 tahun yang lalu. Melalui tinjauan MDSPS, para jemaah amat selesa dengan kaedah pendekatan ini. Mereka dapat menjiwai butiran isi khutbah yang disampaikan, malahan keberkesanannya meningkat. Peratus jemaah yang tertidur juga agak berkurangan.
Semoga peranan khutbah jumaat yang menjadi nadi penyebaran maklumat dan tarbiah kepada masyarakat ini dapat memberi kesan yang maksima dengan adanya kemudahan teknologi terkini tanpa mengabaikan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Pihak MDSPS juga merakamkan jutaan terima kasih kepada para jemaah yang senantiasa menyokong perkembangan yang dilakukan oleh pihak MDSPS melalui sumbangan idea, teguran dan juga dalam bentuk sumbangan kewangan. Semoga usaha memasjidkan masyarakat yang menjadi matlamat utama pihak pengurusan MDSPS akan dapat direalisasikan dan curahan rahmat Allah SWT sebagai ganjaran.