Majlis Jamuan Aidilfitri dan Program Talaqi Para Imam SPS

15 September 2011. Majlis Jamuan Aidilfitri Masjid Daerah Seberang Perai telah berlangsung dengan jayanya. Majlis pada kali ini diserikan lagi dengan kehadiran Sheikh Solah Khalifah yang merupakan Imam Besar Masjid Saidina Jaafar Abi Talib, Mazar, Muktah, Jordan. Majlis bermula pada jam 9:30 pagi yang dikhususkan kepada para imam seluruh masjid daerah Seberang Perai Selatan. Pada majlis para imam didedahkan dengan syarahan berkenaan al-Quran serta kelebihannya khususnya berkaitan tajwid dan tanggungjawab sebagai imam. Di penghujung majlis para imam berkesempatan bertalaqi dan mengambil sanad surah al-fatihah serta surah al-Khauthar daripada Sheikh Solah.

Majlis jamuan pula bermula pada tepat jam 11:00 pagi. Pada kali ini MDSPS mendapat seekor lembu aqiqah dari para jemaah untuk majlis tersebut. Kehadiran tetamu dianggarkan 2000 orang secara keseluruhannya.

Pihak Pengurusan MDSPS merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan, sukarelawan MDSPS yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan semenjak awal program hinggalah berlangsung dengan jayanya. Semoga program ini mencapai matlamat untuk mengeratkan silaturrahim disamping mendekatkan jemaah kepada masjid.

Advertisement

Kunjungan Sheikh Solah Khalifah Imam Besar Masjid Muktah Jordan

12 September 2011, Para jemaah Masjid Daerah Seberang Perai Selatan merasa bertuah kerana telah dikunjungi oleh seorang tokoh ulama’ tersohor dari bumi Anbi’a Jordan. Beliau ialah Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah yang merupakan Imam Besar Masjid Syaidina Jaafar Abi Talib, Mazar, Muktah Jordan. Beliau juga merupakan Pensyarah di Universiti Islam Muktah, juga terlibat sebagai Ahli Lajnah Pentashih Al-Quran Sedunia. Beliau merupakan anak murid kepada Sheikh Mutawali Syakrawi, Imam Hasan al-Banna dan Sheikh Muhammad Ghazali.

Kuliah yang disampaikan oleh beliau memakan masa selama hampir dua jam telah diterjemahkan oleh Ustaz Hj Hashim Bin Wasoh. Sheikh Solah banyak memberi penekanan tentang persoalan hidayah. Menurut beliau hidayah adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT yang perlu kita usahakan untuk mendapatkannya. Cara untuk mendapatkan hidayah ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, berkawan dengan orang alim dan mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah.

Beliau juga menekan persoalan taubat. Walaubagaimanapun keadaan kita yang telah bergelomang dengan dosa disebabkan kejahilan diri, Allah SWT tidak pernah menutup pintu taubat kepada para hamba-Nya. Malah begitu pemurahnya Allah SWT bagi setiap kesalahan yang dilakukan disebabkan kejahilan, kalau sekiranya ia bertaubat dengan sebenar-benar taubat, Allah SWT akan mengantikan segala kesalahan itu dengan kebajikan.

Syeikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah

Para jemaah begitu teruja dengan kehadiran Sheikh Solah dan tidak melepaskan peluang untuk bersoal jawab khususnya berkaitan tajwid. Sebelum itu Sheikh Solah telah sudi untuk mengimami solat isyak dan meneruskan dengan kuliah Isyak selepas itu. Diharapkan kehadiran Sheikh Solah akan menyemarakkan semangat para jemaah untuk mencintai ilmu dan para ulama’.

Sila layari facebook Masjid Daerah SPS untuk gambar-gambar sekitar program: http://www.facebook.com/media/set/?set=a.246984162011970.57980.115306478513073&type=1