Bicara Tafsir: Sempena Isra’ dan Mikraj

10 Julai 2010, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan program Bicara Tafsir siri ke 4. Panel jemputan kali ini ialah Ustaz Hj Zolkhibri Bin Abdul Aziz.

Bersempena bulan Rejab yang diberkati, bicara tafsir kali ini membincangkan ayat 1 Surah Al-Isra’. Banyak pengajaran dan butiran ilmu yang dapat dikongsikan bersama ahli jemaah, antaranya;

Peristiwa Rasulullah s. a. w. Isra’ dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa dan Mi’raj ke langit adalah salah satu mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah s. w. t. kepada baginda. Malah boleh dikatakan bahawa ia adalah kemukjizatan baginda yang kedua terbesar sesudah al-Qur’an al-Karim. Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy berkata:“Segenap kaum muslimin telah bersepakat untuk menerima kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah s. a. w., iaitu satu malam di mana baginda diperjalankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dan dinaikkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Tujuan Isra’ dan Mi’raj adalah agar hamba-Nya dan Rasul-Nya (Muhammad s. a. w.) dapat menyaksikan secara langsung betapa besar kekuasaan Allah s. w. t. serta keajaiban-keajaiban ciptaan-Nya yang tidak mungkin diketahui oleh manusia di bumi dan tidak terjangkau oleh akal fikiran mereka. Ia adalah sesuatu yang hanya dapat dijangkau oleh keimanan yang mantap, teguh lagi suci.Kita sebagai umat yang beriman menyedari bahawa mukjizat baginda yang berupa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah sesuatu yang sungguh besar, sungguh ajaib serta mengkagumkan sesudah mukjizat baginda berupa kitab suci al-Qur’an yang sehingga sekarang – bahkan sehingga bila-bila jua dapat disaksikan (kemujizatan) isi kandungannya.

Isra’ dan Mi’raj merupakan satu peristiwa yang agung kerana tiada seorang Nabi mahupun Rasul yang diberi penghormatan oleh Allah s. w. t. untuk mengalaminya. Hanya Nabi Muhammad s. a. w. sahaja yang diberi anugerah ini. Ia adalah satu tanda ketinggian dan keagungan baginda di sisi Allah SWT..”

Teruskan membaca