Falak On Street, MDSPS dan Jabatan Mufti Pulau Pinang

13 Disember 2010 bersamaan 7 Muharam 1432, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan rasa bertuah kerana telah dipilih oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bagi menganjurkan program “Falak On The Street”. Program anjuran bersama ini bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya lebih menghargai alam khususnya angkasa lepas yang memiliki khazanah dan rahsia yang banyak untuk diterokai.

Pada malam tersebut para jemaah yang hadir sekitar 250 orang tidak melepaskan peluang untuk melihat melalui teropong bulan separa, planet Musytari dan hujan meteor Geminids. Hujan meteor adalah fenomena yang terjadi ketika sejumlah meteor terlihat bersinar pada langit malam. Meteor ini terjadi kerana adanya serpihan benda luar angkasa yang dinamakan meteoroid, yang memasuki atmosfer Bumi dengan kecepatan tinggi. Ukuran meteor umumnya hanya sebesar sebutir pasir, dan hampir semuanya hancur sebelum mencapai permukaan Bumi. Serpihan yang mencapai permukaan Bumi disebut meteorit. Hujan meteor umumnya terjadi ketika Bumi melintasi dekat orbit sebuah komet dan melalui serpihannya.

Para muslimat juga tidak ketinggalan mengambil bahagian sempena program ini

Pihak MDSPS berharap pihak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang akan memilih MDSPS lokasi akan datang untuk fenomena bulan gerhana penuh yang dijadualkan berlaku pada bulan Jun nanti.

Wacana Perdana Ma’al Hijrah 1432

10 Disember 2010 bersamaan 4 Muharam 1432, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Hubungan Seranta Daerah Seberang Perai Selatan bersama Pejabat Pentadbiran Agama Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan program “Wacana Perdana Sempena Ma’al Hijrah 1432.” Program ini berbentuk forum yang menampilkan para tokoh ilmuan dan pendakwah tempatan. Tujuan program ini diadakan adalah bertujuan membangkitkan semangat masyarakat Islam untuk berhijrah merubah diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang lebih cemerlang dunia dan akhirat serta mampu menghadapi cabaran akhir zaman yang penuh fitnah ini. Ianya juga bertujuan mendedahkan kepada masyarakat strategi dan pengajaran peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk ditauladani bagi membangunkan ummah masa kini.

Pada asalnya pihak pengajur membariskan ahli penal Yang Berbahagia Ustaz Hj Ellias Bin Zakaria Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Tuan Guru Dato’ Hj Abdul Hamid Bin Tahir, ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah serta dimoderatorkan oleh Ustaz Hj Roslan Bin Che Rus. Namun disebabkan ada sedikit masalah dan musibah yang berlaku kepada Yang Berbahagia Ustaz Hj Ellias Bin Zakaria, pihak penganjur terpaksa membuat sedikit perubahan.

Barisan ahli panel "Wacana Perdana Maal Hijrah 1432"

Program berjalan lancar dengan bantuan Imam Utama Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim dijemput menjadi moderator dan wacana diteruskan dengan panel Tuan Guru Dato’ Hj Abdul Hamid Bin Tahir dan Ustaz Hj Roslan Bin Che Rus. Para jemaah dapat mengambil manfaat yang begitu hebat melalui para panelis yang berpengalaman melalui contoh-contoh yang relaven untuk dihayati.

Sebelum itu para jemaah dihidangkan dengan jamuan makan malam selepas solat maghrib dan kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hj Mohamad Aziz Bin Abdullah, Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal. Program ini mendapat kerjasama dari Pusat Urus Zakat Negeri Pulau Pinang dan insyaallah akan disiarkan oleh pihak RTM melalui radio sinar Mutiara yang membuat rakaman sepanjang program ini. Pihak MDSPS merakam ribuan terima kasih kepada pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini.

Sambutan Ma’al Hijrah 1432

6 Disember 2010 bersamaan 29 Zulhijjah 1431, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan bacaan doa akhir dan awal tahun. Sebelum itu dalam majlis tersebut diadakan juga bacaan Ma’thurat dan Surah Yasiin. Majlis yang bermula pada jam 6:15 petang itu diketuai oleh Imam Utama sendiri iaitu Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim turut dihadiri para jemaah muslimin dan muslimat yang dianggarkan 350 orang termasuk kakitangan kerajaan, golongan remaja dan kanak-kanak.

Pada sebelah malamnya, majlis diserikan lagi dengan ceramah motivasi “Maal Hijrah” yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Bin Abu Bakar, Mudir Am Sekolah Tahfiz al-Islah Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor Seberang Perai Utara.

Ustaz Ahmad Fahmi memulakan ceramahnya dengan penekanan terhadap kesedaran insan kepada hari pembalasan yang bakal kita tempuh. Berhijrah bererti kesedaran kita kepada kehidupan yang sedang dilalui ini adalah sebuah pelayaran yang semakin hampir kepada destinasi. Kesedaran yang jelas akan menghasilkan tindakan yang betul agar kehidupan yang sedang dilalui ini tidak disia-siakan.

Ustaz Ahmad Fahmi sedang menyampaikan ceramah

 

Al-Fadhil Ustaz juga menekankan tentang ‘ummatan wasatan’ umat pertengahan yang merupakan umat yang terbaik kerana perseimbangan dalam ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam yang dibawa Nabi menyebabkan ramai dikalangan golongan barat telah terbuka hati untuk mengenali Islam sejak akhir-akhir ini. Bermula semenjak peristiwa 11 September yang melenyapkan Pusat Dagangan Dunia di Amerika, telah berduyun-duyun rakyat Amerika dan barat khususnya  mengkaji Islam. Akhirnya terserlah, Islam bukanlah agama keganasan seperti yang dicanangkan Yahudi tetapi agama yang membawa ketenangan dan kasih-sayang.

Mengimbau sejarah Hijratul Rasul, al-Fadhil Ustaz membangkitkan nostalgia bagaimana gigihnya Nabi SAW berhijrah bersama sahabat baginda Abu Bakar. Perjalanan yang mempunyai perancangan yang begitu teliti disamping pergantungan dan tawakal yang tinggi kepada Allah menghasilkan natijah yang sempurna sehingga musuh putus asa untuk menjejaki Nabi.

Hijrah nabi penuh iktibar. Justeru kita tiada lagi hijrah tempat sebagaimana hadis nabi tetapi kita perlu berhijrah melalui sikap, minda dan tindakan daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik. Penghijrahan kita mestilah mempunyai perancangan yang teliti sebagaimana hijrahnya Nabi supaya mampu menghasilkan masyarakat dan negara yang diredhai Allah. Perubahan hendaklah menyeluruh, meliputi aspek diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan akhir sekali akan terhasil daulah Islamiyyah.

Sila klik untuk paparan gambar-gambar sekitar program

Ceramah Motivasi ini amat menarik minat para peserta yang dianggarkan melebihi 400 orang dengan bantuan alat multimedia yang lebih memberi kesan kepada minda dan kefahaman para jemaah. Sebelum ceramah bermula para jemaah dihidangkan dengan kenduri kesyukuran yang dianjurkan oleh para jemaah melalui sumbangan dari individu-individu yang dermawan. Dipenghujung program, Ustaz Mohamad Zaki selaku pengerusi majlis pada malam itu merakamkan jutaan terima kasih kepada para jemaah yang telah memberi sokongan kewangan dan juga moral sehingga pihak MDSPS mampu melaksanakan pelbagai program untuk dimanfaatkan oleh para jemaah. Menurut beliau tahun baru yang bakal menjelma akan memberi inspirasi baru kepada pihak pengurusan untuk merancang program-program yang lebih menarik melibatkan semua golongan khususnya muslimat dan juga remaja. Program berakhir pada jam 11:30 malam.