20 November 2010, sempena cuti sekolah yang baru bermula, sebagai salah satu program khidmat masyarakat pihak Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan program khatan secara tradisional buat kali kedua dengan menggunakan khidmat tok mudim. Program yang merupakan acara tahunan MDSPS ini telah disertai oleh 19 orang para pelajar yang berumur antara 6 hingga 12 tahun.
Antara objektif program ini ialah untuk mengalakkan para jemaah mendekati masjid untuk mendapat khidmat yang berkaitan ibadat. Khatan adalah merupakan amalan sunnah yang digalakkan oleh Islam.

Kelebihan Khatan
Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai ‘smegma’. Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.
Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.
Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.
Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi, ‘kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah’. Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.
Pihak pengurusan juga merakamkan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan masjid yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menjayakan program khatan secara tradisional ini.