Sambutan Ma’al Hijrah 1432

6 Disember 2010 bersamaan 29 Zulhijjah 1431, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah menganjurkan bacaan doa akhir dan awal tahun. Sebelum itu dalam majlis tersebut diadakan juga bacaan Ma’thurat dan Surah Yasiin. Majlis yang bermula pada jam 6:15 petang itu diketuai oleh Imam Utama sendiri iaitu Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim turut dihadiri para jemaah muslimin dan muslimat yang dianggarkan 350 orang termasuk kakitangan kerajaan, golongan remaja dan kanak-kanak.

Pada sebelah malamnya, majlis diserikan lagi dengan ceramah motivasi “Maal Hijrah” yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Bin Abu Bakar, Mudir Am Sekolah Tahfiz al-Islah Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor Seberang Perai Utara.

Ustaz Ahmad Fahmi memulakan ceramahnya dengan penekanan terhadap kesedaran insan kepada hari pembalasan yang bakal kita tempuh. Berhijrah bererti kesedaran kita kepada kehidupan yang sedang dilalui ini adalah sebuah pelayaran yang semakin hampir kepada destinasi. Kesedaran yang jelas akan menghasilkan tindakan yang betul agar kehidupan yang sedang dilalui ini tidak disia-siakan.

Ustaz Ahmad Fahmi sedang menyampaikan ceramah

 

Al-Fadhil Ustaz juga menekankan tentang ‘ummatan wasatan’ umat pertengahan yang merupakan umat yang terbaik kerana perseimbangan dalam ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam yang dibawa Nabi menyebabkan ramai dikalangan golongan barat telah terbuka hati untuk mengenali Islam sejak akhir-akhir ini. Bermula semenjak peristiwa 11 September yang melenyapkan Pusat Dagangan Dunia di Amerika, telah berduyun-duyun rakyat Amerika dan barat khususnya  mengkaji Islam. Akhirnya terserlah, Islam bukanlah agama keganasan seperti yang dicanangkan Yahudi tetapi agama yang membawa ketenangan dan kasih-sayang.

Mengimbau sejarah Hijratul Rasul, al-Fadhil Ustaz membangkitkan nostalgia bagaimana gigihnya Nabi SAW berhijrah bersama sahabat baginda Abu Bakar. Perjalanan yang mempunyai perancangan yang begitu teliti disamping pergantungan dan tawakal yang tinggi kepada Allah menghasilkan natijah yang sempurna sehingga musuh putus asa untuk menjejaki Nabi.

Hijrah nabi penuh iktibar. Justeru kita tiada lagi hijrah tempat sebagaimana hadis nabi tetapi kita perlu berhijrah melalui sikap, minda dan tindakan daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik. Penghijrahan kita mestilah mempunyai perancangan yang teliti sebagaimana hijrahnya Nabi supaya mampu menghasilkan masyarakat dan negara yang diredhai Allah. Perubahan hendaklah menyeluruh, meliputi aspek diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan akhir sekali akan terhasil daulah Islamiyyah.

Sila klik untuk paparan gambar-gambar sekitar program

Ceramah Motivasi ini amat menarik minat para peserta yang dianggarkan melebihi 400 orang dengan bantuan alat multimedia yang lebih memberi kesan kepada minda dan kefahaman para jemaah. Sebelum ceramah bermula para jemaah dihidangkan dengan kenduri kesyukuran yang dianjurkan oleh para jemaah melalui sumbangan dari individu-individu yang dermawan. Dipenghujung program, Ustaz Mohamad Zaki selaku pengerusi majlis pada malam itu merakamkan jutaan terima kasih kepada para jemaah yang telah memberi sokongan kewangan dan juga moral sehingga pihak MDSPS mampu melaksanakan pelbagai program untuk dimanfaatkan oleh para jemaah. Menurut beliau tahun baru yang bakal menjelma akan memberi inspirasi baru kepada pihak pengurusan untuk merancang program-program yang lebih menarik melibatkan semua golongan khususnya muslimat dan juga remaja. Program berakhir pada jam 11:30 malam.

Tinggalkan komen