16 November 2010, sempena sambutan Aidiladha 1431, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Sungai Jawi telah menganjurkan program “Malam bersama Kekasih” pada malam hari raya Aidiladha yang lalu. Program ini bermula selepas solat isyak diisi dengan solat sunat tasbih, solat hajat dan witir dipimpin oleh Tuan Imam Utama Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim. Program ini juga dihiasi dengan zikir munajat, takbir raya serta doa munajat.

Antara tujuan utama program ini adalah untuk menghidupkan malam yang penuh barakah ini dengan ibadah disamping mendidik para jemaah untuk melakukakan amalan-amalan sunat yang digalakkan oleh baginda Rasulullah SAW.
Mengenai solat Tasbih, terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a.; “Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada bapa saudaranya al-‘Abbas; ‘Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu sepuluh kelebihan jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terang; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau baca –ketika sedang berdiri itu-; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” sebanyak 15 kali. Kemudian kamu ruku’ dan semasa ruku’ itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari ruku’ dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri I’tidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali juga. Kemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah seumur hidup sekali” (HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang hadis di atas. Ada yang menolaknya (yakni menganggapnya dhaif, tidak soheh) dan ada yang menerimanya. Antara yang menolaknya ialah Imam Ibnul-Jauzi, Hafiz al-‘Uqaili dan Abu Bakar Ibnu al-‘Arabi. Adapun yang menerimanya (yakni menganggapnya sebagai soheh untuk dijadikan hujjah dan amalan)–antara mereka- ialah; Imam as-Suyuti, Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan al-Hafiz al-Munziri. Berkata Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani; hadis mengenai solat tasbih ini adalah hasan kerana banyak jalannya yang menguatkan jalannya yang pertama”. Termasuk juga yang menerima hadis Solat Tasbih itu ialah Syeikh Nasiruddin al-Albani. Dalam tahqiqnya terhadap Sunan Abu Daud, beliau menegaskan; “Hadis tersebut (yakni hadis solat Tasbih yang kita kemukakan di atas) adalah soheh” (Lihat; Soheh Wa Dhaif Sunan Abi Daud, no. 1297).
Dihujung program pihak MDSPS melalui sumbangan para jemaah mengadakan jamuan hari raya seperti lemang, ketupat rendang dan kurma kambing bagi memeriahkan lagi suasana malam raya. Diharapkan program sebegini dapat memasjidkan masyarakat khususnya sebagai medan untuk menyambung silaturrahim.